Semusim Perjalanan
....Seuntai Bicara Mengubah Rasa....

Friday, 5 October 2012

Muka Buku


Laman sosial “facebook” merupakan laman sosial yang selalu digunakan oleh remaja masa kini bagi berkongsi ilmu, menyampaikan maklumat, berkongsi pendapat dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga sebilangan kecil antara mereka menyalahgunakan laman sosial ini dengan menimbulkan isu-isu yang negatif sehingga berlaku pergaduhan. Perkara sebegini selalu berlaku sehingga menjadi isu yang serius. Selain itu, terdapat juga mereka yang mengutuk, menjatuhkan maruah orang lain di laman ini. Wajarkah perkara ini berlaku? Bagaimanakah perasaan kita sekiranya perkara sebegini berlaku ke atas kita? Soalan ini perlu ditanya pada diri sendiri bagi memberi kesedaran tentang buruk dan baiknya perkara ini.
            Bagi pendapat saya, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana laman sosial merupakan suatu tempat yang boleh dijadikan “tapak” untuk berdiskusi sesama kita bagi membincangkan sesuatu isu ataupun menyampaikan ilmu bagi perkongsian bersama dan bukannya dijadikan “tapak” pergaduhan sesama kita.

Sekian.

"Dah makan dik?"


Hampir setiap hari saya dan rakan akan mengisi perut di sebuah kedai makan berhampiran dengan kampus selepas selesai kuliah. Apa yang membuatkan saya tertarik dengan kedai ini ialah masakannya yang kena dengan selera saya dan juga perkhidmatan yang diberikan amat memuaskan.
Apa yang ingin saya maksudkan dengan perkhidmatan yang memuaskan ialah hubungan antara pemilik kedai dengan pelanggan dan juga hubungan pemilik kedai dengan pekerja mereka. Senyuman tidak pernah lekang di bibir walaupun mereka berada dalam keadaan letih. Boleh dikatakan setiap hari ada seorang “pak cik” akan menegur kami dengan bertanyakan soalan “sudah sarapan ke belum?” Hubungan pemilik kedai juga amat mengagumkan saya kerana hubungan mereka sangat rapat dan tidak keterlaluan sekiranya saya katakan seperti adik-beradik.
Di sini jelaslah menunjukkan tidak kira apapun pangkat yang kita pegang, hubungan sesama kita perlulah dijaga, bukannya diherdik dan dihina. Setiap makhluk di atas muka bumi ini dicipta dengan hati dan perasaan. Hubungan yang baik ini akan saya jadikan panduan suatu hari nanti sekiranya saya berhadapan dengan situasi sebegini.

Sekian.

Sistem Panggilan "mak cik" "pak cik".


Daripada semester satu sehinggalah sekarang ini saya sudah berada di semester lima, saya sering kali mendengar isu-isu yang berkaitan dengan nama panggilan yang sepatutnya digunakan oleh seseorang mahasiswa kepada pensyarah sama ada perpangkat tinggi ataupun rendah. Hal ini penting dipandang serius kerana terdapat juga sesetengah pelajar yang memanggil pensyarah mereka dengan panggilan “mak cik” dan “pak cik”. Sistem panggilan yang digunakan itu boleh menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pensyarah. Hal ini demikian kerana, setiap mahiswa perlu peka berkaitan sistem panggilan yang patut mereka gunakan. Memang tidak dinafikan tidak semua pensyarah boleh diingati namanya oleh mahasiswa. Namun sekiranya mereka betul-betul tidak mengetahui pangkat pensyarah tersebut, sekurang-kurangnya mereka perlu memanggil dengan panggilan “tuan” ataupun “puan”. Panggilan itu lebih formal dan boleh digunakan kepada sesiapa sahaja.

Sekian.

Senyumlah


Kerap kali saya jumpa penjual yang tidak tahu menghormati pelanggan ketika berkunjung di pekan Tanjung Malim. Secalit senyuman juga kadang kala tidak kelihatan di bibir mereka ketika melayan pelanggan, malah ada juga pelanggan yang melayan pelanggan dengan sikap acuh-acuh sahaja.
Pada pendapat saya, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana apa sahaja yang berlaku, pelanggan tetap menjadi keutamaan. Tidak menjadi kesalahan sekiranya kita memberi senyuman kepada orang lain kerana dalam Islam, senyuman yang diberikan merupakan sedekah. Senyuman jugalah yang dapat mengeratkan hubungan silaturrahim antara manusia tanpa mengira agama dan kaum.

Sekian.

Hormati Guru Kita


Assalamualaikum w.b.t
Perasaan hormat kepada guru amat penting diambil serius oleh setiap pelajar. Hal ini demikian kerana, tanpa perasaan tersebut, ilmu yang diperoleh tidak akan mendapat keberkatan daripada Allah S. W. T. Apa yang saya lalui beberapa hari ini ialah berhadapan dengan pelajar yang tidak sopan ketika sesi pembelajaran. Ketika pensyarah menyampaikan pengajaran, mereka berbual di belakang dengan menggunakan suara yang kuat.
Pada pendapat saya, perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sebagai pelajar, perasaan hormat kepada guru perlu ada dan perbuatan mereka itu secara tidak langsung telah mengganggu tumpuan pelajar lain. Tugas mereka sebagai pelajar adalah belajar dan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana tumapuan yang tinggi haruslah diberikan semasa proses pembelajaran dan pengajaran.

Sekian.