Semusim Perjalanan
....Seuntai Bicara Mengubah Rasa....

Friday, 28 September 2012

Dimana Letaknya Bahasa Melayu?


“Sejauh manakah letaknya darjat bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia?” Persoalan itu sering kali diajukan belakangan ini kerana bahasa Inggeris lebih tinggi penggunaannya dalam semua aspek termasuklah ketika berlangsung perbincangan dengan negara luar hinggalah ke dalam dunia kampus. Di sini saya tidak mahu menyentuh isu yang berkaitan dengan perbincangan negara, tetapi saya ingin menyentuh isu yang berlaku di sekitar saya iaitu karenah pelajar ataupun mahasiswa dalam penggunaan bahasa Melayu. Apa yang dapat saya lihat, pelajar sekarang mengalami kecelaruan dalam berbahasa iaitu mereka suka sangat mencampurkan bahasa Malayu dan bahasa Inggeris semasa perbualan harian sehinggalah dibawa ke dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pada pandangan saya, hal ini tidak seharusnya berlaku kerana bahasa Melayu harus diletakkan pada darjat yang paling tinggi dalam negara kita. Hal ini demikian kerana, sekiranya percampuran bahasa terus berlaku, tidak mustahil bahasa utama negara iaitu bahasa Melayu akan terus tenggelam dan masyarakat juga akan terikut-ikut dengan perangai orang barat.

Sekian.

"Terima Kasih". Tidak Sukar Pun Kan?


"Budi Bahasa Budaya Kita." Itulah slogan yang selalu diketengahkan oleh masyarakat kita. Terdapat juga masyarakat yang mengamalkan, namun terdapat juga segelintir masyarakat yang tidak menerapkan dalam kehidupan. Beberapa hari lepas, saya menaiki bas yang telah disediakan oleh pihak universiti untuk ke kolej kediaman yang berhampiran. Bas yang dinaiki tidak terdapat ramai penumpang kerana waktu itu bukan waktu kemuncak. Setelah sampai di tempat yang dituju, seorang demi seorang pelajar turun untuk mengikut hala tuju masing-masing. Apa yang menjadi persoalan dalam fikiran saya pada ketika itu, “mana perginya budi bahasa pelajar-pelajar ini?” Mereka turun daripada bas tanpa mengucapkan “terima kasih” kepada memandu bas. Adakah mereka pelajar semester satu yang belum tahu adab yang perlu diamalkan ini?
Kesimpulannya, walau siapapun kita dan siapapun orang yang berbakti kepada kita, kita perlu menghargai jasa-jasa mereka. Ucapan “terima kasih” tidaklah sukar untuk diujarkan dan ucapan itu jugalah yang boleh memberi semangat kepada mereka untuk terus menyumbangkan bakti kepada kita.

Sekian.

"Aku Terima Nikahnya"


Sempena pesta buku yang berlangsung di dewan SITC, UPSI beberapa hari ini, saya tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk “Aku Terima Nikahnya”. Buku ini mengenengahkan titipan erti sebenar perkahwinan dan medan memberi yang paling mulia. Buku ini mengisahkan perhubungan yang membawa ke alam perkahwinan Hasrizal dan Muna yang ditentukan oleh keluarga tanpa pertemuan empat mata antara mereka.
Selepas bertunang, mereka berdua membawa hala tuju masing-masing untuk melanjutkan pelajaran. Apa yang saya kagumkan antara mereka ialah, mereka amat menjaga batas-batas pergaulan antara mereka dan hanya akan berjumpa di majlis-majlis ceramah yang dikendalikan oleh Hasrisal. Perbualan antara mereka juga hanya berlaku di dalam majlis tersebut serta hanya bercakap untuk bertanyakan khabar. Pada pandangan saya, mereka berdua sangat menjaga batas-batas pergaulan antara mereka walaupun sudah mempunyai ikatan pertunangan. Hal ini demikian kerana, pada masa kini kita boleh lihat masyarakat sekarang menjadikan alasan ikatan pertunangan sebagai “batu loncatan” untuk menghalalkan sesuatu yang haram. Apa yang ditunjukkan oleh pasangan ini boleh dijadikan tauladan kepada remaja dalam menjaga adat-adat dalam perhubungan.
Sekian.

Thursday, 27 September 2012

Remaja Kini


     
Hari ini saya ingin berkongsi satu situasi yang berlaku dan menjadi tatapan saya dan rakan ketika berkunjung di Dataran Merdeka beberapa hari yang lepas. Pertama kali sampai di situ, saya begitu teruja melihat keunikan dan keindahan kilauan lampu-lampu yang dihiasi pada bangunan-bangunan di situ dan juga orang ramai yang berpusu-pusu memenuhi kawasan tersebut. Namun begitu, saya begitu kecewa melihat segelintir remaja yang sangat kurang ajar dan menggunakan bahasa yang tidak sopan serta langsung tidak menghormati orang yang lalu lalang. Mereka berkomunikasi antara mereka dengan menggunakan bahasa yang kesat tanpa menghiraukan pandangan orang luar. Terdapat juga segelintir mereka yang berlumba motosikal beramai-ramai dan hal ini boleh mendatangkan kemudaratan kepada orang yang mengunjungi kawasan tersebut. Apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah, sekiranya beginilah perangai golongan remaja harapan bangsa kita, kepada  siapakah kita ingin bergantung harap untuk menerajui negara pada masa akan datang.

Sekian.....

Wednesday, 26 September 2012

"Abe Klate"


Assalamualaikum w.b.t....
Di sini saya ingin berkongsi satu peristiwa ataupun keadaan yang berlaku di sekitar saya sejak belakangan ini. Pada Sabtu lepas, saya dan kawan-kawan ke pasar malam Tanjung Malim. Pasar malam di Tanjung Malim ini boleh dikatakan besar sebab kebanyakan semua pelajar UPSI termasuklah saya akan datang di sini untuk mendapatkan barangan keperluan harian dan makanan. Boleh dikatakan setiap minggu saya akan mendapatkan ayam gunting ataupun lebih dikenali dengan panggilan “Uncle Bob” dan boleh dikatakan itulah makanan yang saya akan beli setiap kali ke pasar malam.
Dipendekkan cerita, saya sangat mengagumi “abang” yang menjual “Uncle Bob” ini sebab dia pandai berkomunikasi dengan pelanggannya. Saya tidak pasti “abang” ini berasal dari mana, tetapi yang pasti dia menggunakan dialek Kelantan. Saya cakap saya tidak pasti sebab kebanyakan orang Terengganu yang berada di daerah Besut juga akan menggunakan dialek Kelantan (macam saya). Apa yang saya kagum sangat dengan “abang” ini ialah dia akan berkomunikasi dengan pelanggannya dengan menggunakan bahasa baku. Namun begitu, sekiranya pelanggan mereka menggunakan dialek yang sama dengannya, dia akan berkomunikasi dalam dialek tersebut. Situasi ini jelas menunjukkan betapa teguh jati dirinya dalam memartabatkan bahasa ataupun dialek mereka.
            Hal ini jelas menunjukkan negara kita mempunyai pelbagai bahasa dan dialek. Situasi yang ditunjukkan oleh “abang” tersebut boleh diikuti kerana dia pandai berkomunikasi mengikut situasi yang dialami. Saya juga “respect” “abang tu sebab dia tidak melupakan asal usul dan kebudayaannya. Sikap yang ditunjukkannya boleh diikuti oleh sesama kita.
Sekian.....