Semusim Perjalanan
....Seuntai Bicara Mengubah Rasa....

Friday, 19 October 2012

...Persidangan Antarabangsa...

          Pada 15-16 Oktober 2012 baru-baru ini telah berlangsung Persidangan Antarabangsa Memartabatkan Bahasa Melayu dan Pelancaran  Bulan Bahasa Melayu peringkat negeri Perak 2012 di Universiti Pendidikan Sultan Idris.  Persidangan ini telah dihadiri oleh ahli-ahli bahasa dari Indonesia, Indonesia, Bogor, Bandung dan juga ahli bahasa di Malaysia sendiri. Persidangan ini dilakukan bagi memartabatkan lagi bahasa Melayu yang telah kian pudar di negara kita sendiri.

          Semasa berlangsungnya persidangan ini, saya tertarik dengan kertas kerja yang dibentangkan oleh wakil Singapura. Antara inti kertas kerjanya ialah berkaitan warga Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sana. Beliau menyatakan bahawa rakyat Malaysia yang melanjutkan pelajaran di sana lebih suka berada di bahagian belakang semasa di dalam kelas dan tidak suka bertanya dalam proses P&P. Hal ini berlaku kerana mereka tidak memahami bahasa ibunda di Indonesia.

           Pada pendapat saya, tidak memahami bahasa ibunda bukan satu alasan yang kukuh bagi pelajar Malaysia memencilkan diri sebegitu kerana tugas seorang pelajar adalah belajar dan ketidakfahaman itulah yang perlu dijadikan pendorong kepada mereka untuk lebih mendalami dan belajar bahasa ibunda mereka bagi memudahkan proses pembelajaran semasa di sana. Tidak menjadi suatu kesalahan kita belajar bahasa asing kerana kita bukan ingin mengagung-agungkan bahasa mereka, tetapi sekadar ingin menambahkan lagi pengetahuan dalam berbahasa.

Sama-samalah kita tingkatkan ilmu pengetahuan kita.

...Mahasiswa Mahasiswi...

          Sekarang sudah masuk minggu keenam minggu pengkuliahan. Sudah pasti semua mahasiswa dan mahasiswi sudah tidak sabar menunggu minggu ketujuh untuk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha. Namun begitu, bukan persoalan ini ingin saya fokuskan pada hari ini, tetapi sikap mahasiswa yang tidak tahu menepati dan menghargai masa.

          Sebagaimana yang diketahui, sudah menjadi kebiasaan bagi pelajar-pelajar untuk menghadirkan diri awal ke kelas pada minggu-minggu awal kuliah dan sebaliknya pada minggu-minggu akhir kuliah. Boleh dikatakan setiap hari kuliah pada minggu ini, ada sahaja pelajar yang hadir lewat. Kadang kala lewat sehingga 30 minit setelah kuliah bermula.

          Hal sebegini tidak seharusnya berlaku kerana kelewatan yang berlaku akan mengganggu proses pembelajaran dan pengajaran pelajar lain. Selain itu, kemungkinan besar pensyarah akan terasa hati atas kelewatan mereka itu kerana boleh dikatakan tiap kali kuliah, muka mereka sahaja yang selalu datang lewat. Sebagai seorang mahasiswa dan bakal seorang guru, disiplin diri perlulah dijaga kerana kita bakal mendidik anak bangsa suatu hari nanti. Jika kini kita telah tunjukkan perangai sebegini, tidak mustahil bila bergelar guru nanti pelajar yang bakal kita hasilkan akan menunjukkan sikap yang sama.

Sama-samalah kita renungkan.

...Warga Asing...

          Hari ini saya ingin berkongsi satu situasi yang saya perhatikan di sekeliling saya belakangan ini. Sebenarnya situasi ini sudah lama saya perhatikan dan pada dua minggu lepas barulah saya perasaan keadaan ini sangat kritikal. Apa yang saya ingin kongsikan di sini ialah masalah kebanjiran warga asing di segenap sudut negara tidak kiralah sebagai buruh, pemilik kedai makan di kawasan bandar, dan pemandu lori ais Atlas juga turut dimajoriti oleh golongan ini.

          Terlintas difikiran saya, mana perginya warga Malaysia sehingga semua peluang pekerjaan diisi oleh mereka. Apakah punca yang menyebabkan situasi sebegini berlaku? Adakah disebabkan majikan di negara ini mengupah mereka disebabkan untuk mendapat keuntungan yang tinggi? Hal ini demikian kerana, berdasarkan apa yang saya dengar sebelum ini, majikan mengambil pekerja-pekerja asing disebabkan oleh kos upahan yang akan diberi lebih rendah berbanding kos upahan untuk warga tempatan.

          Pada pendapat saya, perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku kerana hal ini akan menyebabkan berlaku masalah pengangguran bagi warga tempatan dan negara ini akan dibanjiri oleh warga asing yang terlampau ramai sehingga boleh membawa kepada kes-kes jenayah yang akan menyusahkan warga tempatan sendiri. Sebagaimana yang diketahui, pelbagai kes sudah berlaku yang amat menakutkan melibatkan warga asing ini. Oleh itu, pihak yang berwajib perlulah melaksanakan tugas masing-masing dengan mengawal dan mengehadkan pengambilan warga asing ini kerana warga tempatan perlulah didahulukan.

Sama-sama kita renungkan.