Semusim Perjalanan
....Seuntai Bicara Mengubah Rasa....

Tuesday, 23 October 2012

...Bahasa Halus...

          Orang Melayu terkenal dengan sikap sopan santunnya dalam semua aspek, termasuklah semasa komunikasi,semasa  makan dan sebagainya. Bahasa halus turut digunakan semasa berkomunikasi agar percakapan kita menjadi lebih sopan. Sebagai contoh, jika ingin ke tandas, minta izin ingin ke tandas, bukanlah menggunakan perkataan "jamban" sebagaimana sesetengah pihak menggunakannya. Penggunaan perkataan "jamban" didengar begitu kasar dan tidak sopan terutama apabila berhadapan dengan situasi formal.

          Namun begitu, memang diakui masyarakat yang berada di luar bandar dan tidak berpendidikan tinggi masih lagi menggunakan perkataan tersebut, tetapi kita tidak boleh salahkan mereka kerana mereka tidak mempunyai pengalaman dan pembelajaran tinggi macam kita. Kita sebagai orang yang berpelajaran ini perlu membantu memperbetul kesilapan mereka, bukanlah memperlekeh mereka.

          Penggunaan bahasa halus inilah penting bagi mencerminkan masyarakat Melayu yang lemah lembut di mata negara luar. Keperibadian ini jugalah yang akan meningkatkan martabat Melayu kita agar tetap kekal dan tidak lupus di arus globalisasi ini.

... Salah Siapa?...

          Kes jenayah dalam negara kita dewasa ini semakin bertambah sama ada orang tempatan ataupun warga asing yang menjadi dalangnya. Beberapa hari lepas, seorang wanita mengaku tidak bersalah atas tuduhan mencampak bayinya sendiri yang baru lahir ke luar apartmen keluarganya sehingga menyebabkan kematian. Kejadian tersebut berlaku beberapa minggu lepas semasa ketiadaan ibu bapanya di rumah. Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu bapa wanita terbabit, mereka sendiri tidak mengetahui bahawa anaknya mengandung.

          Hal ini jelas menunjukkan betapa lemahnya moral masyarakat kita apabila sanggup melakukan perbuatan sedemikian tanpa timbul sedikit pun rasa kesian dan sayang terhadap darah daging mereka sendiri. Binatang yang tidak mempunyai akak fikiran pun sayang akan anak mereka. Betullah apa yang orang kata sebelum ini, "manusia apabila jahil dan tidak berfikiran menggunakan akal dan hati akan lebih kejam daripada binatang". Situasi ini telah membuktikannya.

          Berdasarkan situasi di atas, saya terfikir, bagaimanakah situasi keluarga wanita tersebut sehingga ibu bapanya tidak perasan bahawa anaknya mengandung. Adakah disebabkan tidak kukuhnya institusi keluarga mereka ataupun anaknya memang pandai menyimpan rahsia? Bagi pendapat saya, tidak kukuhnya institusi kekeluargaanlah yang menjadi punca semua ini terjadi. Oleh itu, institusi kekeluargaan perlulah diperkukuhkan agar kejadian seperti ini tidak berlaku lagi.

Bersama-samalah kita memperbaiki diri.

...Jati Diri Orang Melayu...

          Dewasa kini jarang kita dengar masyarakat Melayu meletakkan nama anak mereka dengan nama orang Melayu, contonya Siti Aminah, Mariam dan sebagainya. Kebanyakan mereka lebih suka menngunakan nama-nama Inggeris kepada anak-anak mereka, contohnya Danish, Carl dan lain-lain. Hal ini juga saya dengarkan semasa mengikuti persidangan bahasa Melayu baru-baru ini. Hal ini memang tidak dinafikan lagi sebab sudah terang lagi bersuruh situasi ini berlaku dalam negara kita.

          Bukan sahaja nama, masyarakat pada hari ini juga sudah tidak mengenali kuih-kuih tradisional seperti Kuih Kasui, Kuih Bingka Beras, Kuih Seri Muka, Kuih Cara Berlauk dan banyak lagi. Hal ini dapat kita perhatikan apabila golongan remaja masa kini bereaksi pelik apabila mendengar nama-nama kuih tradisional ini. Situasi ini jelas membuktikan mereka tidak pernah melihat kuih-kuih tersebut, apatah ingin merasainya. Hal ini sangat menyedihkan kerana sebagai orang Melayu, kita patut memperjuangkan semua hal yang berkaitan Melayu kita.

            Sekiranya kita sendiri tidak menghargai kemelayuan kita, adakah orang luar akan menghargainya? Renung-renung lah wahai anak bangsa Melayu.

Monday, 22 October 2012

...Orang Melayu...

          Semasa persidangan bahasa Melayu pada minggu lepas, saya ada mendengar seorang ahli bahasa daripada Singapura mengatakan bahawa orang korea ingin memjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa perantaraan di Asia. Saya amat tertarik dengan topik yang dibincangkan, namun tiba-tiba perasaan hiba tiba apabila beliau turut mengatakan bahawa orang Melayu seperti tidak yakin dengan bahasa mereka sendiri apabila melihat reaksi mereka ketika mendengar berita tersebut.

         Saya boleh bayangkan kenapa beliau menyatakan bahawa orang Melayu tidak yakin dengan bahasa mereka. Kita boleh perhatikan kini, mereka lebih suka berkomunikasi dengan menggunakan bahasa Inggeris walaupun dalam kalangan ahli bahasa sendiri. Apatah lagi apabila melibatkan ahli-ahli parlimen semasa melakukan rundingan dengan negara luar.

         Pada pandangan saya, kita perlu terus memartabatkan dan mengagungkan bahasa kita sendiri melebihi bahasa lain. Orang luar pula lebih prihatin dengan bahasa kita, kita pula mengagungkan bahasa lain. Bahasa kita juga hebat, dan apa yang kita ingin banggakan dengan bahasa lain? Sebagaimana telah saya tekankan pada "post" yang sebelum ini, tidak salah kita ingin mempelajari dan menggunakan bahasa lain, tetapi perpada-padalah jangan sampai bahasa sendiri dianaktirikan.

Renung-renungkanlah.

...Setia Tak Bermakna Benci...

          Pada minggu ini saya ingin berkongsi hal-hal atau situasi yang berkaitan bahasa. Hal ini demikian kerana, sebagai bakal guru bahasa, hampir setiap hari kami akan membincangkan isu-isu yang berkaitan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat pada masa kini. Hal yang dibincangkan termasuklah hal-hal pendidikan ataupun sosial masyarakat.

          Beberapa hari lepas, kami ada membincangkan isu berkaitan kesetiaan terhadap bahasa semasa proses pengajaran dan pembelajaran Sosiolinguistik. Saya amat tertarik dengan topik ini kerana pelbagai aspek sosiolingustik dibincangkan. Salah satu topik yang dibincangkan ialah "setia tidak bermakna benci". Hal ini membawa maksud walaupun kita setia terhadap bahasa Melayu, ini tidak bermakna kita membenci bahasa-bahasa lain. Hal ini demikian kerana, kita perlu mempelajari bahasa lain sebagai inisiatif sekiranya berhadapan dengan situasi yang memerlukan kita menggunakan bahasa kedua. Contohnya semasa berhadapan dengan masyarakat yang tidak boleh berbahasa Melayu. Bahasa kedua boleh digunakan untuk berkomunikasi dengan mereka.

           Tidak semestinya bahasa Inggeris sahaja yang boleh dipelajari, bahasa-bahasa lain juga boleh dipelajari kerana boleh menambahkan ilmu pengetahuan kita. Pembelajaran tersebut bukanlah membuktikan kita melupakan asal usul kita dan bukanlah kita curang dalam berbahasa, tetapi pembelajaran sesuatu yang luas, kita tidak boleh menyempitkan pemikiran kita.

Bersama-samalah kita tingkatkan ilmu didada.

...Perangai Remaja Kini...

          Seperti kebiasaan, saya akan mendengar radio Suria fm setiap hari terutama ketika ada masa terluang. Saya tertarik dengan satu iklan yang disiarkan pada beberapa hari lepas. Iklan tersebut berkaitan dengan hubungan ataupun layanan seorang anak terhadap ibunya.

          Belakangan ini dapat kita perhatikan seorang anak lebih mengagung-agungkan teman lelaki ataupun teman wanitanya melebihi seorang ibu dan bapa. Hal ini dapat kita perhatikan pada situasi ketika hari kelahiran teman lelaki. Seorang anak sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit duit untuk membeli hadiah kepada teman lelaki mereka. Namun, pada hari lahir ibu bapa, mereka tidak memberi apa-apa hadiah tanda peringatan, malah mereka langsung tidak mengingati tarikh tersebut.

          Pada pendapat saya, hal sebegini tidak harus berlaku kerana jasa dan pengorbanan ibu bapa amat besar dan merekalah yang berhak mendapat layanan begitu daripada anak-anak, bukanlah teman lelaki ataupun teman wanita. Memang diakui ibu bapa tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada anak-anak mereka, namun kita sebagai anak perlulah melakukan sesuatu agar dapat membahagiakan mereka.

Berbaktilah selagi mereka masih ada.

Sunday, 21 October 2012

...Perangai Manusia...

          Pada Jumaat yang lepas, hujan turun dengan lebat dari pagi sehinggalah tengahari. Pada hari tersebut jugalah kumpulan saya perlu menghantar tugasan Sintaksis. Dalam perjalanan ke Fakulti Bahasa dan Komunikasi, saya terkejut menyaksikan satu situasi yang agak melampau pada pandangan mata saya. Sebuah kereta dipandu dengan laju oleh seorang wanita ketika melalui lompak air sehingga air tersebut terpercik pada beberapa orang pelajar yang melalui kawasan tersebut.

          Dengan perasaan tidak bersalah, pemandu tersebut pergi begitu sahaja tanpa memohon maaf kepada pelajar itu. Kesian saya lihat pelajar yang terkena air yang kotor itu. Bagaimana mereka ingin meneruskan sesi kuliah mereka jika dalam keadaan sebegitu dan ditambah pula sekarang ini musim hujan.  Mana sifat hormat menghormati pada orang lain jika beginilah perangai mereka? Hati saya terdetik, "baru saja pakai kereta biasa dah berlagak begitu, kalau naik kereta mewah, mahu sahaja dilanggar orang yang berjalan kaki".

          Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana sifat prihatin dan hormat menghormati perlu ada diri setiap individu tidak kiralah mereka kaya atau tidak. Pejalan kaki juga mempunyai hak dan jalan raya bukanlah hak orang yang mempunyai kenderaan yang besar-besar sahaja. Tolonglah tanamkan sikap prihatin terhadap orang lain kerana tidak musatahil kejadian sebegini akan berlaku kepada kamu. Jika Alalh S. W. T ingin balas perbuatan kita, sekejap sahaja Dia dapat lakukan.

Fikir-fikirkanlah dan selamat beramal.